Suku Jawa adalah suku bangsa yang
terbesar di Indonesia, dengan jumlahnya di sekitar 90 juta. Mereka berasal dari
pulau Jawa dan menghuni khususnya di provinsi Jawa Tengah serta Jawa Timur
tetapi di provinsi Jawa Barat, Banten dan tentu sahaja di Jakarta, mereka juga
banyak ditemukan.
Bahasa
Sebahagian besar suku bangsa Jawa
menuturkan bahasa Jawa sebagai bahasa percakapan harian. Sebuah tinjauan
pendapat yang dijalankan oleh Majalah Tempo pada awal dekad 1990-an menunjukkan
bahawa hanya sekitar 12% daripada orang-orang Jawa menggunakan bahasa Indonesia
sebagai bahasa pertuturan harian. Sekitar 18% menggunakan campuran bahasa Jawa
dan bahasa Indonesia, dengan yang lain menuturkan bahasa Jawa sebagai bahasa
utama mereka.
Keturunan-keturunan masyarakat Jawa
berpendapat bahawa bahasa Jawa adalah bahasa yang sangat sopan dan mereka,
khususnya orang-orang yang lebih tua, menghargai orang-orang yang menuturkan
bahasa mereka. Bahasa Jawa juga sangat mempunyai erti yang luas.
Kepercayaan
Sebahagian besar orang Jawa menganuti
agama Islam pada nama sahaja. Yang menganuti agama Kristian, Protestan dan
Katolik juga banyak, termasuknya di kawasan luar bandar, dengan penganut agama
Buddha dan Hindu juga ditemukan di kalangan masyarakat Jawa. Terdapat juga
agama kepercayaan suku Jawa yang disebut sebagai agama Kejawen. Kepercayaan ini
pada dasarnya berdasarkan kepercayaan animisme dengan pengaruh agama
Hindu-Buddha yang kuat. Masyarakat Jawa terkenal kerana sifat asimilasi
kepercayaannya, dengan semua budaya luar diserap dan ditafsirkan mengikut
nilai-nilai Jawa sehingga kepercayaan seseorang kadang kalanya menjadi kabur.
Pekerjaan
Di Indonesia, orang Jawa biasanya
ditemukan dalam semua bidang, khususnya dalam perkhidmatan awam dan tentera.
Secara tradisi, kebanyakan orang Jawa adalah petani. Ini adalah sebabkan oleh
tanah gunung berapi yang subur di Jawa. Walaupun terdapat juga banyak usahawan
Indonesia yang berjaya yang berasal daripada suku Jawa orang Jawa tidak begitu
menonjol dalam bidang perniagaan dan perindustrian.
Susun lapis sosial Masyarakat Jawa
juga terkenal kerana pembahagian golongan sosialnya. Pada dekad 1960-an,
Clifford Geertz, pakar antropologi Amerika Syarikat yang ternama, membahagikan
masyarakat Jawa kepada tiga buah kelompok:
1. Kaum santri
2. Kaum abangan
3. Kaum priyayi.
Menurut beliau, kaum santri adalah
penganut agama Islam yang warak, manakala kaum abangan adalah penganut Islam
pada nama sahaja atau penganut Kejawen, dengan kaum priyayi merupakan kaum
bangsawan. Tetapi kesimpulan Geertz ini banyak ditentang kerana ia mencampurkan
golongan sosial dengan golongan kepercayaan. Pengelasan sosialnya juga dicemari
oleh penggolongan kaum-kaum lain, misalnya orang-orang Indonesia yang lain
serta juga suku-suku bangsa bukan pribumi seperti keturunan-keturunan Arab,
Tionghoa dan India.
Kesenian
Orang Jawa terkenal kerana kebudayaan
seni yang sebahagian besarnya dipengaruhi oleh agama Hindu-Buddha, iaitu
pementasan wayang. Repertoir cerita wayang atau lakonan sebahagian besarnya
berdasarkan roman kesateriaan Ramayana dan Mahabharata. Walaupun demikian,
terdapat juga pengaruh Islam serta Dunia Barat.
Stereotaip orang Jawa
Orang Jawa terkenal sebagai suku
bangsa yang sopan dan halus, tetapi mereka juga terkenal sebagai suatu suku
bangsa yang tertutup dan tidak mahu terus terang. Sifat ini konon berdasarkan
sifat orang Jawa yang ingin memeliharakan keharmonian atau keserasian dan
menghindari pertikaian. Oleh itu, mereka cenderung diam sahaja dan tidak
membantah apabila tertimbulnya percanggahan pendapat. Salah satu kesan yang
buruk daripada kecenderungan ini adalah bahawa mereka biasanya dengan mudah
menyimpan dendam.
Orang suku Jawa juga mempunyai
kecenderungan untuk membeza-bezakan masyarakat berdasarkan asal-usul dan kasta
atau golongan sosial. Sifat seperti ini dikatakan merupakan sifat feudalisme
yang berasal daripada ajaran-ajaran kebudayaan Hindu dan Jawa Kuno yang sudah
diyakini secara turun-temurun oleh masyarakat Jawa sehingga sekarang.
Tokoh-tokoh Jawa
* Abdurrahman Wahid, mantan Presiden
Republik Indonesia
* RA. Kartini, pahlawan negara
* Michelle Branch, penyanyi antara bangsa
berketurunan Jawa
* Soeharto, mantan Presiden Republik
Indonesia
* Soekarno, bapak proklamator serta
mantan Presiden Republik Indonesia
* Susilo Bambang Yudhoyono, mantan Presiden
Republik Indonesia
*
Megawati Soekarno Putri, mantan Presiden Republik Indonesia dan sekaligus
presiden wanita pertama di indonesia
Tidak ada komentar:
Posting Komentar